Gigi Anda Kuning? Ikutilah Cara Putihkan Gigi Ini Sekarang!

Gigi yang putih sering dikaitkan dengan kesihatan, keyakinan diri, dan daya tarikan.

Oleh itu, orang yang mempunyai gigi kuning kebanyakannya akan berasa malu ataupun kekurangan keyakinan diri, kerana mereka berpendapat bahawa gigi kuning akan menjejaskan penampilan mereka.

Untuk membantu golongan ini mendapatkan senyuman berseri semula, kami akan membincangkan cara-cara putihkan gigi dalam artikel ini.

Punca gigi kuning, kesan sampingan memutihkan gigi, serta cara mencegah gigi kuning turut akan dibincangkan untuk menyelesaikan masalah ini sehingga ke akar umbi.

mengapakah gigi saya menjadi kuning

Sumber: Brussels Morning Newspaper

Gigi kuning boleh menjadi sumber kebimbangan bagi ramai orang. Namun, perubahan warna gigi ini sebenarnya merupakan fenomena yang biasa dan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.

Faktor Luaran

Faktor luaran merujuk kepada pengaruh dari luar yang boleh menyebabkan gigi menjadi kuning, antaranya termasuk: 

Tabiat penjagaan gigi yang buruk

Jika anda memberus gigi kurang daripada 2 kali sehari dan mengabaikan amalan memflos, tindakan ini akan menyebabkan pengumpulan plak dan bakteria di gigi yang akhirnya akan mengubah warna gigi anda.

Makanan dan minuman tertentu

Makanan dan minuman yang berwarna gelap seperti kari, buah beri, kopi, teh, dan wain merah mengandungi pigmen warna yang boleh melekat pada enamel gigi dan menyebabkan gigi anda menjadi kuning. 

Minuman berkarbonat yang berasid juga membuka jalan kepada perubahan warna gigi, kerana minuman sebegini boleh menghakis enamel gigi dan menjadikan gigi anda kelihatan lebih kuning. 

Makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula pula boleh meningkatkan kadar pertumbuhan bakteria. Selanjutnya, bakteria-bakteria ini akan menghasilkan asid yang akan merosakkan enamel gigi dan seterusnya menyebabkan gigi anda menjadi kuning.


Merokok

Rokok mengandungi nikotin dan tar. Kedua-dua bahan ini mampu merosakkan lapisan gigi anda dan menyebabkan pengumpulan bakteria dalam rongga mulut anda.

Lama-kelamaan, bakteria dalam mulut anda akan membentuk karang gigi, menyebabkan gigi anda kelihatan berwarna kuning.

Komplikasi rawatan tertentu

Pesakit yang menjalani radioterapi atau kemoterapi mungkin mengalami perubahan warna gigi sebagai kesan sampingan. 

Selain itu, pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti antipsikotik, ubat tekanan darah, dan sesetengah antibiotik seperti tetracycline dan doxycycline turut mampu menyebabkan gigi anda menjadi kuning.

Penggunaan ubat kumur secara berlebihan

Penggunaan ubat kumur secara berlebihan, terutamanya yang mengandungi chlorhexidine, menyumbang kepada perubahan warna gigi anda. 


Merokok akan menyebabkan pembentukan karang gigi, menjadikan gigi anda kelihatan kuning. 

Ketahui lebih lanjut tentang karang gigi dalam artikel yang membincangkan punca, tanda, dan cara rawatan karang gigi ini!


Faktor Dalaman

Selain faktor luaran, terdapat juga faktor dalaman yang boleh menyebabkan gigi menjadi kuning, antaranya merangkumi: 

Genetik

Genetik memainkan peranan penting dalam menentukan ketebalan dan warna enamel gigi. Sesetengah orang mungkin mempunyai enamel yang lebih nipis atau gigi yang lebih cenderung untuk menjadi kuning secara semula jadi.

Usia

Struktur gigi anda akan mengalami perubahan yang seiring dengan penuaan anda. 

Misalnya, lapisan enamel gigi anda akan semakin haus dan menjadi lebih nipis. Ini akan mendedahkan lapisan dentin di bawahnya yang berwarna lebih gelap, menyebabkan gigi anda kelihatan lebih kuning atau kelabu.

Menghidapi penyakit tertentu 

Masalah kesihatan yang mempengaruhi struktur enamel dan dentin boleh menyebabkan perubahan warna gigi. 

Sebagai contoh, penyakit periodontal yang tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan pada gusi dan tulang yang menyokong gigi, seterusnya mempengaruhi warna gigi anda.

Apakah Cara Untuk Putihkan Gigi Saya?

jenis pemutihan gigi

Sumber: Medical News Today

Terdapat pelbagai cara untuk memutihkan gigi, sama ada di klinik pergigian atau di rumah. Namun, setiap kaedah mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Marilah kita terokai cara-cara ini dengan lebih terperinci.

Pemutihan Gigi di Klinik Pergigian

Pemutihan Dalam Pejabat 

Pemutihan dalam pejabat (in-office whitening), juga dikenali sebagai pemutihan vital, adalah prosedur pemutihan gigi yang dilakukan oleh doktor gigi di klinik pergigian. 

Prosedur ini melibatkan penggunaan bahan pemutih yang lebih kuat seperti hydrogen peroxide dengan konsentrasi tinggi untuk memberikan hasil pemutihan gigi yang lebih cepat dan baik.  

Berikut adalah langkah-langkah yang biasanya diambil:

  • Scaling: Proses ini membersihkan gigi anda secara mendalam untuk menghilangkan plak dan tartar daripada permukaan gigi. Ini adalah untuk memastikan permukaan gigi anda bebas daripada sebarang kotoran yang boleh menjejaskan keberkesanan pemutihan gigi.

  • Penggilapan: Selepas scaling, gigi anda akan digilap untuk menghilangkan sebarang noda yang mungkin masih ada pada permukaan gigi anda. Penggilapan boleh dilakukan menggunakan kaedah tradisional ataupun air polishing. Ini akan menjadikan permukaan gigi lebih licin dan siap untuk proses pemutihan.

  • Perlindungan gingiva: Sebelum gel pemutih digunakan, gusi anda akan dilindungi dengan bahan pelindung khas. Ini penting untuk mengelakkan iritasi atau kerosakan pada gusi semasa proses pemutihan dijalankan.

  • Penggunaan gel pemutih: Gel pemutih yang mengandungi bahan aktif seperti hidrogen peroksida atau karbamid peroksida akan digunakan pada permukaan gigi. Gel ini bertindak untuk memecahkan molekul noda pada gigi, menjadikan gigi anda lebih cerah.

  • Penggunaan lampu pemutihan gigi: Kadang-kala, lampu pemutihan gigi akan digunakan untuk membantu mengaktifkan bahan dalam gel pemutih. Ini dapat mempercepatkan proses pemutihan dan meningkatkan keberkesanan pemutihan gigi anda.

Berbanding dengan cara memutihkan gigi yang lain, pemutihan dalam pejabat dapat memberikan hasil yang lebih cepat dan ketara, kerana doktor gigi akan menggunakan gel pemutih yang lebih kuat dan peralatan khas dalam rawatan ini. 

Selain itu, rawatan ini turut membolehkan doktor gigi menumpukan kerja pemutihan pada kawasan gigi yang tertentu. Hal ini menyumbang kepada hasil pemutihan gigi yang lebih seragam dan memuaskan.

Keselamatan dan keberkesanan rawatan ini juga terjamin, sedangkan rawatan ini dilakukan di bawah pengawasan doktor gigi yang profesional dan berpengalaman.

Namun demikian, rawatan ini biasanya lebih mahal berbanding dengan kaedah pemutihan di rumah, kerana rawatan ini menggunakan bahan dan peralatan yang lebih canggih.

Di samping itu, anda mungkin perlu meluangkan masa untuk menghadiri beberapa sesi rawatan demi mendapatkan hasil pemutihan yang optimum. Oleh itu, pemutihan dalam pejabat mungkin tidak sesuai untuk orang yang sibuk.

Pemutihan Tidak Vital 

Pemutihan tidak vital (non-vital bleaching) merupakan prosedur yang digunakan untuk memutihkan gigi yang telah menjalani rawatan salur akar.

Berikut adalah prosedur pemutihan tidak vital yang biasanya diambil:

  1. Doktor gigi akan membuka semula gigi yang telah menjalani rawatan saluran akar.
  2. Bahan pemutih diletakkan di permukaan luar dan dalam gigi.
  3. Gigi ditutup semula dengan tampalan sementara.

Namun, sama seperti pemutihan dalam pejabat, anda mungkin perlu meluangkan masa untuk menghadiri beberapa sesi rawatan untuk mendapatkan hasil pemutihan gigi yang memuaskan.

Selepas mengulangi prosedur di atas beberapa kali untuk mencapai perubahan warna gigi yang dikehendaki, barulah bahan tampalan kekal sewarna gigi akan diletakkan pada permukaan gigi anda.

Pemutihan Gigi Di Rumah

Kit Pemutihan Di Rumah

Kit pemutihan di rumah adalah produk yang dipreskripsi oleh doktor gigi untuk digunakan di rumah. 

Sebelum menggunakan produk ini, anda perlu mengunjungi klinik pergigian dahulu untuk menghasilkan dulang khas anda.

Kemudian, anda akan diberikan kit pemutihan yang terdiri daripada dulang khas dan gel pemutih.

Untuk mendapatkan hasil pemutihan gigi yang optimal, anda perlu memakai dulang dengan gel pemutih selama beberapa jam sehari ataupun jangka masa yang disarankan.

Berbanding dengan rawatan di klinik, harga kit pemutihan di rumah adalah lebih murah. Selain itu, alat ini boleh digunakan mengikut keselesaan anda di rumah.

Namun, hasil pemutihan alat ini mungkin tidak sebaik seperti rawatan pemutihan yang dijalankan di klinik. Anda turut perlu menggunakan alat ini secara konsisten untuk mendapatkan hasil yang diinginkan. 

Tambahan pula, jika alat ini tidak digunakan dengan betul, anda berkemungkinan mengalami sensitiviti gigi atau kerengsaan gusi

Oleh itu, anda perlu mengikuti arahan penggunaan dengan teliti semasa menggunakan kit pemutihan di rumah dan berbincang dengan doktor gigi anda sebelum menggunakannya.

Produk Pemutihan Gigi

Produk pemutihan gigi adalah produk yang boleh didapati di pasaran tanpa preskripsi doktor gigi, antaranya termasuklah: 

  • Ubat gigi pemutihan gigi: Ubat gigi yang mengandungi bahan pemutih ringan.
  • Jalur pemutihan gigi: Jalur plastik nipis yang dilapisi dengan gel pemutih.
  • Pen pemutih gigi: Alat berbentuk pen yang mengandungi gel pemutih.
  • Dulang pemutihan gigi: Dulang sedia pakai yang diisi dengan gel pemutih.
  • Sarung gigi: Sarung yang mengandungi bahan pemutih yang dipakai pada gigi.

Kelebihan produk-produk ini adalah mudah didapati (sedangkan tidak memerlukan preskripsi doktor gigi), harganya lebih murah, dan mudah digunakan di rumah

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa kekurangan yang perlu dipertimbangkan. 

Sama seperti kit pemutihan di rumah, hasil pemutihan produk-produk ini mungkin kurang memuaskan, dan perlu digunakan secara konsisten. Jika tidak digunakan dengan betul, anda akan menghadapi risiko sensitiviti gigi atau kerengsaan gusi.

Rumusan Ringkas

Masih tidak dapat membuat keputusan?

Jangan risau! Kami telah meringkaskan kelebihan dan kekurangan untuk memutihkan gigi di klinik pergigian dan di rumah dalam jadual di bawah:

Aspek

Kelebihan

Kekurangan

Pemutihan Gigi di Klinik Pergigian

 - Hasil pemutihan yang cepat dan ketara
 - Dilakukan oleh profesional
 - Selamat dan berkesan

 - Lebih mahal
 - Perlu meluangkan masa untuk menghadiri beberapa sesi rawatan di klinik

Pemutihan Gigi di Rumah

 - Lebih murah
 - Boleh dilakukan mengikut jadual sendiri

 - Hasil pemutihan mungkin kurang baik
 - Memerlukan disiplin untuk penggunaan konsisten
 - Risiko penggunaan yang tidak betul (mungkin menyebabkan sensitiviti gigi atau kerengsaan gusi)

Sebenarnya, pilihan yang terbaik untuk memutihkan gigi bergantung pada keperluan dan bajet anda. Dapatkanlah khidmat nasihat daripada doktor gigi yang profesional untuk memahami setiap cara untuk memutihkan gigi secara mendalam.

Jika anda sedang mencari perkhidmatan pergigian yang profesional di Pulau Pinang, Klinik Pergigian Skye adalah pilihan terbaik anda. Pasukan doktor gigi kami yang berpengalaman sentiasa bersedia untuk menyelesaikan sebarang masalah pergigian, termasuklah masalah gigi kuning

Jangan terus biarkan gigi yang kuning menjejaskan kecantikan senyuman anda. Kunjungi kami pada hari ini untuk mendapatkan perkhidmatan pemutihan gigi yang berkualiti.

Ubah Senyuman Anda Hari Ini!

Jadualkan konsultasi dengan kami untuk meneroka jalan ke senyuman yang lebih cerah dan sihat.

Jadualkan temujanji
cheerful-young-woman-having-dental-examination-clinic

Awas, Jangan Guna Produk Pemutih Gigi yang Tidak Diiktiraf!

Kini, terdapat berbagai-bagai jenis produk pemutih gigi di pasaran.

Namun, sentiasa mengIngati bahawa anda hanya boleh menggunakan produk pemutih gigi yang diiktiraf oleh badan kesihatan yang berwibawa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ataupun Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Pengiktirafan daripada badan-badan kesihatan ini menunjukkan bahawa produk pemutihan gigi tersebut mengandungi bahan aktif dalam kuantiti yang selamat dan berkesan untuk memutihkan gigi anda tanpa merosakkan mereka.

Sebaliknya, produk yang tidak diiktiraf, terutamanya yang dijual melalui ejen atau jualan langsung, mungkin mengandungi komponen aktif dalam kepekatan yang berlebihan. 

Penggunaan produk sebegini secara berpanjangan boleh mengakibatkan kerosakan gigi yang serius dan kekal, antaranya termasuklah hakisan enamel gigi, sensitiviti gigi yang melampau, ataupun kerosakan saraf gigi.

Oleh itu, sebelum membeli sebarang produk pemutih gigi, pastikan produk tersebut mempunyai label pengesahan KKM atau FDA. Jika anda meragui kesahihan produk tersebut, sila rujuk kepada doktor gigi anda untuk khidmat nasihat yang profesional dan cadangan produk yang sesuai.

Label KKM

Label FDA

Apakah Kesan Sampingan Pemutihan Gigi?

kesan sampingan pemutihan gigi

Sumber: Freepik

Walaupun pemutihan gigi mampu memberikan hasil yang menakjubkan, tetapi prosedur ini mungkin mengundang beberapa kesan sampingan secara sementara:

  • Rasa ngilu atau sensitiviti gigi

Anda mungkin mengalami sensitiviti terhadap makanan atau minuman yang sejuk semasa atau selepas rawatan.

  • Ketidakselesaan pada gusi

Sesetengah orang mungkin mengalami kerengsaan atau kesakitan ringan pada gusi mereka. Ini biasanya disebabkan oleh pendedahan gusi kepada bahan pemutih.

  • Sakit tekak

Terdapat juga orang yang mengalami sakit tekak selepas memutihkan gigi mereka. Keadaan ini mungkin berlaku jika anda menelan sedikit bahan pemutih secara tidak sengaja semasa menerima rawatan pemutihan gigi. 

  • Kemunculan tompok-tompok putih di pinggir gusi 

Sesetengah orang mungkin mendapati tompok-tompok putih di pinggir gusi mereka selepas rawatan. Keadaan yang dikenali sebagai pemutihan tidak sekata ini biasanya disebabkan oleh pengagihan agen pemutihan yang tidak sekata.

Kebanyakannya, kesan-kesan sampingan yang muncul selepas menerima rawatan pemutihan gigi akan hilang dalam 3-5 hari

Namun, sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang berterusan atau teruk, sila berjumpa dengan doktor gigi anda dengan segera. Mereka akan menilai keadaan anda dan mencadangkan rawatan yang sesuai jika perlu.


Mengalami masalah gusi bengkak selepas pemutihan gigi? 

Bacalah artikel kami mengenai gusi bengkak untuk menyelesaikan masalah gusi anda!


Apakah Cara Untuk Mencegah Gigi Kuning?

cara mencegah gigi kuning

Sumber: Freepik

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Mencegah gigi kuning memanglah lebih mudah dan murah berbanding dengan merawatinya. 

Antara cara-cara yang berkesan untuk mencegah gigi kuning termasuklah:

  • Mengamalkan tabiat penjagaan gigi yang baik

Pastikan anda memberus gigi anda sekurang-kurangnya 2 kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur. Untuk memastikan semua permukaan gigi dibersihkan dengan teliti, gunakan teknik memberus yang betul

Di samping itu, jangan lupa untuk memflos sekali sehari untuk mengeluarkan sisa makanan dan plak di antara gigi yang tidak dapat dicapai oleh berus gigi.

Ingat, tabiat-tabiat ini merupakan asas kepada gigi yang cerah.

  • Pengubahsuaian diet

Hadkan pengambilan makanan dan minuman yang berwarna gelap seperti kari, buah beri, kopi, teh, dan wain merah, kerana ini boleh mewarnakan gigi anda. 

Selain itu, kurangkan juga makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, kerana gula boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria yang menghasilkan asid. Asid ini akan merosakkan enamel gigi anda dan menyebabkan gigi anda kelihatan kuning. 

Sebaliknya, tingkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang kaya dengan serat. Sesetengah buah-buahan seperti lemon dan strawberi juga dikatakan mempunyai sifat semula jadi yang boleh membantu memutihkan gigi.

  • Penggunaan straw

Jika anda tidak dapat mengelakkan minuman berwarna, cuba gunakan straw. 

Ini dapat mengurangkan pendedahan langsung minuman tersebut kepada gigi anda, seterusnya mengurangkan risiko gigi anda bertukar warna.

  • Berhenti merokok

Merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan anda, tetapi juga merupakan penyebab utama gigi kuning. Jika anda merokok, pertimbangkan untuk berhenti atau sekurang-kurangnya mengurangkannya demi kesihatan gigi dan tubuh anda.

  • Penggunaan produk penjagaan gigi yang mengandungi fluorida 

Fluorida bukan sahaja membantu mencegah kerosakan gigi, tetapi juga boleh menguatkan enamel gigi, menjadikannya tidak mudah mengubah warna.

Dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan ini secara konsisten, anda boleh mengekalkan warna gigi yang lebih cerah dan sihat untuk jangka masa yang panjang. 


Ingin menjaga kebersihan gigi anda secara menyeluruh? 

Bacalah artikel kami mengenai scaling gigi untuk memahami kepentingan mencuci gigi dan manfaatnya.


Sedia untuk senyuman yakin dan berseri?

Tempah konsultasi untuk membincangkan pilihan rawatan yang disesuaikan. Senyuman yang lebih cerah dan gembira menanti anda!

Hubungi kami inspection-teeth-woman-with-help-mirror

Senyuman Cerah Menanti Anda: Dapatkan Rawatan Pemutihan Gigi di Skye Dental Hari Ini!

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara untuk putihkan gigi anda. Namun, setiap cara mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Jika anda ingin mendapatkan nasihat pakar atau rawatan pemutihan gigi yang efektif, kunjungilah Klinik Pergigian Skye.

Rawatan pemutihan gigi kami menggunakan rawatan inovatif dengan hidrogen peroksida berkepekatan rendah. Selain berkesan dalam memutihkan gigi, risiko mengalami gigi sensitif selepas menerima rawatan juga akan dikurangkan.

Di samping itu, doktor-doktor gigi di klinik kami bukan sahaja mahir dalam melakukan pelbagai rawatan memutihkan gigi, tetapi juga dapat memberikan khidmat nasihat atas rawatan yang sesuai dengan keperluan khusus anda. 

Jangan biarkan gigi kuning menghalang anda daripada bersenyum dengan yakin. Hubungi Klinik Pergigian Skye hari ini untuk membuat janji temu dan mulakan perjalanan anda ke arah senyuman yang lebih cerah dan cantik!

Soalan Lazim

Kenapa gigi saya boleh jadi kuning?

Gigi boleh menjadi kuning disebabkan beberapa faktor:

  • Tabiat penjagaan gigi yang buruk
  • Pengambilan makanan dan minuman yang mewarnakan gigi, berasid ataupun tinggi kandungan gula
  • Merokok 
  • Komplikasi rawatan tertentu
  • Penggunaan ubat kumur secara berlebihan
  • Genetik
  • Usia 
  • Menghidapi penyakit yang mempengaruhi struktur enamel dan dentin

Untuk maklumat lanjut, sila merujuk ke maklumat dalam bahagian “Mengapakah Gigi Saya Menjadi Kuning?

Apakah harga memutihkan gigi di klinik gigi?

Harga pemutihan gigi di klinik boleh berbeza-beza bergantung pada lokasi, jenis rawatan, dan pengalaman doktor gigi. Secara umum, harganya boleh bermula dari RM 350 hingga RM 1,500. 

Untuk mendapatkan anggaran yang tepat, anda disarankan untuk berunding dengan beberapa klinik gigi di kawasan anda. Namun, jika anda sedang mencari perkhidmatan pemutihan gigi dengan harga yang berpatutan di Pulau Pinang, kunjungilah Klinik Pergigian Skye hari ini.  

Doktor-doktor pergigian kami akan membantu anda memilih rawatan pemutihan gigi yang paling sesuai dengan keperluan khusus anda selain memastikan proses pemutihan gigi anda dijalankan dengan selamat dan berkesan.

Hubungi Klinik Pergigian Skye hari ini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang rawatan pemutihan gigi kami.

Apakah cara-cara untuk memutihkan gigi kuning?

Terdapat beberapa cara untuk memutihkan gigi kuning:

  1. Pemutihan gigi di klinik pergigian: Pemutihan dalam pejabat dan pemutihan tidak vital
  2. Pemutihan gigi di rumah: Penggunaan kit pemutihan di rumah dan produk pemutihan gigi

Untuk maklumat lanjut, sila merujuk ke maklumat dalam bahagian “Apakah Cara Memutihkan Gigi?”.

Adakah hasil pemutihan gigi saya kekal selama-lamanya?

Hasil pemutihan gigi tidak kekal selama-lamanya. Bergantung pada gaya hidup dan tabiat anda, hasil pemutihan gigi anda biasanya bertahan antara beberapa bulan hingga 3 tahun

Faktor-faktor seperti merokok, makan makanan berwarna, minum minuman berwarna, dan tabiat penjagaan gigi yang tidak baik boleh mengurangkan jangka masa hasil pemutihan gigi.

Adakah pemutihan gigi selamat untuk semua orang?

Pemutihan gigi secara umumnya selamat untuk kebanyakan orang, tetapi tidak disarankan untuk:

  • Wanita hamil atau wanita yang sedang menyusukan anak
  • Kanak-kanak di bawah umur 16 tahun
  • Orang yang mempunyai gigi atau gusi yang sensitif
  • Mereka yang mempunyai masalah gigi yang belum dirawat seperti lubang gigi atau penyakit gusi
  • Orang yang alah terhadap bahan kimia yang digunakan dalam produk pemutihan

Oleh itu, adalah penting untuk berbincang dengan doktor gigi anda sebelum memulakan sebarang rawatan pemutihan gigi untuk memastikan rawatan tersebut sesuai dan selamat untuk anda.

Author

Share your love
Feliciayi
Feliciayi
Articles: 33