Tampal Gigi: Jenis, Prosedur & Harga

Adakah anda mengalami: sakit gigi, gigi sensitif, atau gigi patah?

Jika ya, ini mungkin tanda anda memerlukan tampalan gigi. Tanpa rawatan, masalah ini boleh menyebabkan kesakitan, jangkitan, dan, dalam kes yang teruk, kehilangan gigi.


Tapi jangan bimbang! Tampalan gigi adalah rawatan yang mudah, cepat, dan berkesan. Doktor gigi akan membuang bahagian yang reput, dan mengisi rongga gigi dengan tampalan gigi. 


Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang tampalan gigi dan sama ada ia pilihan yang sesuai untuk anda, teruskan membaca artikel ini!


Bagaimana Untuk Mengetahui Sama Ada Saya Perlu Tampal Gigi?

Berikut ialah tanda-tanda anda perlu tampal gigi


  • Sakit Gigi: Jika anda mengalami sakit gigi yang berterusan selama lebih daripada beberapa hari, ini mungkin tanda terdapat karies gigi atau jangkitan yang perlu ditampal.


  • Gigi Sensitif: Gigi yang merasa sensitif terhadap makanan tertentu (cth: makanan panas atau sejuk, masam atau manis) mungkin tanda terdapat pereputan gigi yang perlu ditampal. 


  • Gigi Patah: Gigi patah boleh dibaiki dengan tampalan gigi. Tampalan tersebut boleh memperlahankan dan mencegah pereputan gigi. 


  • Rasa Sakit Apabila Menggigit: Rasa sakit apabila menggigit atau mengunyah mungkin tanda terdapat karies gigi atau gigi patah yang perlu ditampal. 


  • Tompok Gelap Pada Gigi: Tompok gelap atau lubang pada gigi adalah tanda terdapat pereputan gigi yang perlu ditampal.


  • Tampalan Gigi Yang Rosak atau Hilang: Tampalan gigi yang rosak atau hilang perlu digantikan dengan segera untuk mengelakkan jangkitan bakteria dalam mulut anda.


Pemeriksaan Gigi - Cara Terbaik Untuk Mengesan Kerosakan Gigi Awal

Doktor gigi boleh memeriksa gigi anda untuk tanda-tanda pereputan atau kerosakan gigi, dan menentukan sama ada tampalan gigi diperlukan. 


Doktor gigi akan menggunakan alat-alat khas seperti probe pergigian dan cecair mengesan karies untuk memeriksa bahagian yang rosak. Mereka juga akan menggunakan X-ray untuk mengenal pasti:


  • lokasi pereputan gigi
  • tahap keparahan pereputan gigi.


Kemudian, mereka akan mengesyorkan rawatan yang terbaik berdasarkan keadaan gigi anda. Jika anda ingin mendapatkan pemeriksaan gigi, hubungi Klinik Pergigian Skye hari ini!


Doktor-doktor gigi kami menggunakan teknik dan teknologi pergigian terkini untuk menjamin para pesakit mendapat rawatan yang selesa, berkualiti, dan berkesan.

Ubah Senyuman Anda Hari Ini!

Jadualkan konsultasi dengan kami untuk meneroka jalan ke senyuman yang lebih cerah dan sihat.

Jadualkan temujanji
cheerful-young-woman-having-dental-examination-clinic

Apakah Prosedur Untuk Tampal Gigi?

Rawatan ini mengambil masa antara 10 minit sehingga 1 jam. Berikut ialah prosedur untuk menampal gigi:


  1. Pertama sekali, sebelum proses menampal gigi dimulakan, doktor gigi akan memberikan ubat bius untuk mengebaskan kawasan sekitar gigi yang ingin ditampal jika diperlukan. 
  2. Kemudian, doktor gigi akan menggunakan alat tangan atau hanpis pergigian untuk mengeluarkan bahagian gigi yang rosak atau reput. 
  3. Langkah seterusnya, doktor gigi akan membersihkan karies gigi dengan menggunakan gel asid. Langkah ini penting untuk memastikan rongga itu bersih daripada bakteria dan kotoran.
  4. Rongga tersebut kemudian akan diisi dengan tampalan gigi. 
  5. Jika jenis tampalan gigi yang dipilih ialah resin komposit, doktor gigi akan menggunakan cahaya khusus (dental curing light) untuk mengeraskan tampalan tersebut. 
  6. Akhir sekali, gigi yang ditampal akan digilap dan dilicinkan untuk memastikan tiada bahagian tajam atau tambahan. 


Prosedur untuk tampalan gigi bergantung pada jenis tampalan gigi. Oleh itu, konsult doktor gigi anda untuk maklumat lanjut mengenai prosedur ini.



Apa itu Tampalan Gigi?

Tampalan gigi adalah rawatan untuk mengeluarkan bahagian gigi yang reput atau rosak, dan menutup ruang (di mana bakteria boleh masuk) dengan tampalan gigi.


Tampalan gigi digunakan untuk merawat karies gigi atau membaiki retak kecil pada gigi anda. 


Secara amnya, tampalan gigi boleh bertahan sekitar 5 hingga 15 tahun, bergantung pada jenis tampalan gigi. Selepas tempoh tersebut, anda perlu menggantikan tampalan tersebut.


Sebagai contoh, tampalan gigi amalgam boleh bertahan selama 15 tahun, manakala tampalan komposit boleh bertahan selama 7 tahun. 

Jenis Tampalan Gigi

Jenis Tampalan Gigi

Sumber: Freepik


Terdapat tiga jenis tampalan gigi, iaitu tampalan langsung, tidak langsung, dan sementara. Tampalan yang paling sesuai untuk anda bergantung pada faktor berikut:


  • Lokasi karies gigi atau kerosakan.
  • Rekod perubatan pesakit.
  • Keperluan estetik (kelihatan natural / semula jadi atau tidak).
  • Kemampuan kewangan.

Tampalan Gigi Langsung 

Tampalan gigi langsung boleh dibuat terus dalam mulut anda. Tampalan ini sesuai untuk merawat karies gigi yang kecil


Tampalan ini boleh disiapkan dalam satu temu janji. Makmal pergigian (untuk membuat tampalan gigi) dan tampalan gigi sementara tidak diperlukan. 


Berikut ialah beberapa jenis bahan tampalan gigi langsung:

Jenis Tampalan

Kebaikan

Keburukan

Tampalan amalgam

- Harga mampu milik.

- Tahan lama (berbanding tampalan komposit dan ionomer kaca).

- Boleh disiapkan dalam satu temu janji.

- Tidak kelihatan natural / semula jadi (berwarna perak).

- Boleh menyebabkan noda (stain) gigi.

- Sebahagian besar struktur gigi perlu dikeluarkan sebagai persediaan untuk menampal gigi.

- Tidak disyorkan untuk individu tertentu (cth: kanak-kanak, wanita mengandung).

- Menyebabkan gigi retak dalam jangka yang panjang.

Tampalan resin komposit

- Kelihatan natural / semula jadi (sewarna gigi).

-  Boleh membaiki pereputan atau kerosakan gigi yang kecil tanpa mengeluarkan sebahagian besar struktur gigi.

- Boleh disiapkan dalam satu temu janji.

- Tidak menyebabkan gigi retak.

- Lebih mahal (berbanding tampalan amalgam).

- Tidak tahan lama (berbanding tampalan amalgam).

- Prosedur mengambil masa yang lebih lama.

Tampalan ionomer kaca

- Kelihatan natural / semula jadi (sewarna gigi).

- Membantu melindungi gigi kerana bahan ini menghasilkan fluorida.

- Biasanya digunakan untuk membaiki karies gigi kecil dalam gigi susu, dan merawat pereputan di bawah garis gusi.

- Boleh disiapkan dalam satu temu janji.

- Lebih mahal (berbanding tampalan amalgam).

- Tidak tahan lama (berbanding tampalan amalgam dan komposit).

Tampalan Gigi Tidak Langsung 

Terdapat dua jenis tampalan gigi tidak langsung, iaitu inlays dan onlays. Inlays menutup kuspa (bonjolan) pada permukaan mengunyah gigi, manakala onlays menutup lebih daripada satu kuspa. 


Tampalan-tampalan ini digunakan apabila struktur gigi tidak mencukupi untuk tampalan biasa, tetapi kerosakan gigi tidak begitu teruk sehingga memerlukan gigi mahkota. 


Tampalan ini perlu disiapkan dalam dua temu janji:


  • Perjumpaan pertama: Doktor gigi akan mengambil acuan gigi anda. Acuan tersebut akan dihantar ke sebuah makmal pergigian, di mana seorang juruteknik pergigian akan membuat tampalan tersebut. 


  • Perjumpaan kedua: Doktor gigi akan mengeluarkan tampalan sementara* dan melakukan proses rawatan tampalan gigi kekal. 


*Nota: Sementara menunggu tampalan tidak langsung siap, tampalan sementara digunakan untuk melindungi gigi yang rosak. Ketahui lebih lanjut dalam bahagian ini


Berikut ialah beberapa jenis bahan tampalan gigi tidak langsung:

Jenis Tampalan

Kebaikan

Keburukan

Tampalan emas

- Lebih kuat dan tahan lama (berbanding tampalan gigi langsung, dan tampalan porselin atau seramik).

- Tidak kelihatan natural / semula jadi (berwarna emas).

- Lebih mahal (berbanding tampalan gigi tidak langsung).

- Perlu disiapkan dalam dua temu janji.

Tampalan porselin atau seramik

- Kelihatan natural / semula jadi (sewarna gigi).

- Lebih kuat (berbanding tampalan gigi langsung).

- Tidak tahan selama tampalan emas.

- Lebih mahal (berbanding tampalan gigi tidak langsung).


- Perlu disiapkan dalam dua temu janji.

Tampalan Sementara

Tampalan sementara dibuat untuk melindungi gigi dalam situasi di mana tampalan perlu dikeluarkan semula dalam masa yang singkat. Lebih khusus lagi, tampalan ini digunakan dalam situasi berikut:


  • Rawatan gigi (cth: tampalan gigi, mahkota gigi) yang memerlukan lebih daripada satu temu janji.
  • Saraf gigi sensitif perlu diberi masa untuk ‘sembuh’. 
  • Rongga gigi yang perlu ditutup selepas rawatan salur akar. 
  • Rawatan pergigian kecemasan diperlukan. 

Perbandingan Jenis Tampalan Gigi

Jenis Tampalan Gigi

Deskripsi

Tampalan gigi langsung

- Sesuai untuk merawat karies gigi yang kecil.

- Kurang kuat dan tahan lama.

- Lebih murah.

- Satu temu janji diperlukan.

- Jenis bahan: Tampalan amalgam, tampalan resin komposit, tampalan ionomer kaca.

Tampalan gigi tidak langsung

- Sesuai untuk merawat karies gigi yang lebih besar, dan pereputan gigi yang lebih teruk.

- Lebih kuat dan tahan lama.


- Lebih mahal.


- Dua temu janji diperlukan.


- Jenis bahan: Tampalan emas, tampalan porselin.

Tampalan Sementara

- Digunakan untuk melindungi gigi secara sementara (cth: sebelum bahan tampalan gigi tidak langsung disiapkan).

Apakah Kebaikan Tampal Gigi?

Berikut ialah kebaikan-kebaikan mendapatkan tampalan gigi:


  1. Menguatkan gigi yang lemah.
  2. Memastikan “lubang” gigi tidak menjadi lebih teruk.
  3. Memelihara struktur gigi semula jadi.
  4. Mengembalikan fungsi gigi yang patah.
  5. Menambah baik penampilan gigi anda (Warna, saiz, dan bentuk gigi).
  6. Rawatan yang tahan lama (Sekitar 5 hingga 15 tahun).

Kesan Sampingan dan Komplikasi Berkaitan Tampalan Gigi

Kesan Sampingan Sementara

Anda mungkin akan mengalami kesan sampingan berikut selepas gigi ditampal:


  • Gigi sensitif: Gigi anda mungkin lebih sensitif terhadap “tekanan pada gigi” atau makanan yang panas, sejuk, masam atau manis. Rasa sensitif ini biasanya akan hilang selepas beberapa hari atau minggu. 


  • Rahang sakit: Rahang anda mungkin berasa sakit selepas rawatan tersebut. Oleh itu, anda mungkin menghadapi sedikit kesukaran membuka mulut dengan luas. Rasa sakit ini biasanya akan hilang selepas beberapa hari. 


  • Mulut berasa kebas: Pipi dan bibir anda mungkin berasa kebas untuk beberapa jam selepas rawatan ini (disebabkan oleh ubat bius). Berhati-hati semasa mengunyah atau menggigit agar mulut anda tidak tercedera. Elakkan makanan dan minuman yang bersuhu panas. 

Komplikasi

Kadangkala, komplikasi berikut berlaku selepas gigi ditampal:


  • Sakit gigi berdenyut: Mungkin menandakan pulpa gigi anda rosak. Oleh itu, rawatan salur akar mungkin diperlukan. (Sakit gigi berdenyut juga adalah kesan sampingan biasa selepas tampal gigi. Dalam situasi ini, rasa sakit akan hilang selepas gigi tersebut sembuh.)


  • Rasa sakit apabila menggigit: Mungkin berpunca daripada tampalan baharu yang tidak sekata dan akibatnya menjejaskan gigitan anda. Doktor gigi anda boleh membetulkan tampalan tersebut. 


  • Alahan pada tampalan gigi: Jika anda mengalami ruam kulit atau rasa gatal-gatal, anda mungkin alah terhadap bahan tampalan gigi. Doktor gigi anda boleh menggantikan tampalan tersebut. Walau bagaimanapun, komplikasi ini jarang berlaku. 


  • Tampalan gigi patah atau retak: Perbuatan mengunyah, dan mengisar atau mengetap gigi boleh merosakkan tampalan gigi. Jika tampalan gigi rosak dan gigi terdedah kepada sisa-sisa makanan dan bakteria, terdapat risiko tinggi pereputan akan berlaku. Doktor gigi anda boleh menggantikan tampalan tersebut. 


Jika anda mengalami sebarang komplikasi atau kesan sampingan berpanjangan, sila berjumpa dengan doktor gigi anda secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan lanjutan. 

Kenapa gigi saya yang ditampal berdenyut? 

Gigi yang ditampal mungkin berdenyut disebabkan oleh rangsangan kepada saraf gigi semasa prosedur. Rangsangan ini akan menyebabkan sedikit ketidakselesaan untuk sementara waktu. 


Walau bagaimanapun, rasa sakit berdenyut mungkin juga tanda pulpa gigi anda sudah rosak sebelum tampalan gigi. Komplikasi ini perlu dirawat dengan rawatan salur akar. Konsult doktor gigi anda untuk dapatkan diagnosis yang tepat. 

Apa yang perlu dibuat kalau gigi rasa sakit lepas tampalan?

Anda boleh mengambil ubat tahan sakit seperti panadol dan ibuprofen. Jika anda mengalami rasa sakit berpanjangan, sila berjumpa dengan doktor gigi anda.


Adakah anda tercari-cari cara meredakan sakit gigi? Baca artikel ini untuk ketahui cara menghilangkan sakit gigi di rumah (tanpa ubat).


Tips Penjagaan Tampalan Gigi

Berikut ialah cara-cara menjaga tampalan gigi anda:

Ubah Tabiat Pemakanan Tertentu 

Anda boleh menjaga tampalan gigi baharu anda, dan mengurangkan rasa sakit dengan mengubah tabiat-tabiat pemakanan tertentu, untuk tempoh beberapa minggu selepas tampal gigi. 


Berikut ialah beberapa tabiat yang patut diamalkan:


  • Kunyah dengan berhati-hati.
  • Jangan mengunyah dengan gigi yang baru sahaja ditampal.
  • Elakkan makanan yang keras dan kenyal.
  • Kurangkan makanan dan minuman yang panas atau sejuk.
  • Elakkan makanan dan minuman yang bergula.

Ambil Ubat Tahan Sakit 

Jika anda mengalami rasa sakit atau pedih, anda boleh mengambil ubat tahan sakit yang boleh dibeli di kaunter farmasi (OTC), seperti panadol. 


Walau bagaimanapun, jika anda mengalami rasa sakit berpanjangan, iaitu lebih daripada beberapa hari, atau semakin teruk dan menggangu tidur, sila berjumpa dengan doktor gigi anda.

Ubat Tahan Sakit

Sumber: Freepik

Jaga Kebersihan Mulut Dengan Baik 

Pastikan anda mengamalkan penjagaan mulut yang baik untuk memastikan tampalan gigi anda bertahan lebih lama dan mengelakkan pereputan atau kerosakan gigi. 


Berikut ialah langkah-langkah untuk menjaga kesihatan gigi dan gusi anda. 


  • Berus gigi anda dua kali sehari dengan ubat gigi fluorida.
  • Floss gigi anda sekali sehari.
  • Minum air fluorida.
  • Jangan merokok.
  • Amalkan diet seimbang.
  • Jadualkan janji temu pergigian berkala (setiap 6 bulan).

Jadualkan Janji Temu Susulan 

Bagi memastikan tampalan gigi anda dalam keadaan yang baik, jadualkan janji temu susulan dengan doktor gigi anda. Mereka boleh memeriksa tampalan gigi tersebut, dan memperbaiki sebarang kerosakan.


Anda juga boleh memberitahu doktor gigi jika terdapat kesan-kesan sampingan (cth: sakit gigi) akibat tampalan gigi. Mereka boleh menasihati anda jika sebarang ubat atau rawatan diperlukan.

Janji Temu Susulan Tampal Gigi

Sumber: Freepik


Berapakah Harga Untuk Tampal Gigi?

Harga untuk tampal gigi bergantung pada jenis bahan tampalan dan kerumitan prosedur tersebut. Secara amnya, harga untuk tampalan gigi di klinik swasta Malaysia adalah antara RM60 hingga RM800


Tampalan langsung seperti tampalan amalgam dan tampalan resin komposit, lebih murah berbanding tampalan tidak langsung seperti tampalan emas dan tampalan porselin. 


Berikut ialah anggaran harga tampalan gigi di Malaysia:

Jenis Tampalan 

 Harga 

Tampalan amalgam

RM80 - RM400

Tampalan resin komposit

 RM120 - RM350

Tampalan ionomer kaca

RM120 - RM350

Tampalan emas

RM4000 - RM6000

Tampalam porselin atau seramik

RM1500 - RM3000

Tampalan sementara

RM60 - RM120

Alternatif Tampal Gigi

Alternatif Tampal Gigi

Sumber: Freepik


Berikut ialah beberapa rawatan yang mungkin lebih sesuai untuk anda:


  1. Veneer Gigi - Digunakan untuk menutup “ketidaksempurnaan” seperti rekahan dan noda (stain) pada gigi. Rawatan pergigian kosmetik ini hanya sesuai dilakukan jika mulut anda sihat (tidak ada karies gigi atau penyakit gusi). Proses ini hanya akan menutup permukaan hadapan gigi anda. 
  2. Mahkota Gigi - Digunakan apabila gigi anda rosak, retak, atau pecah, dan kerosakan tersebut terlalu besar atau tidak dapat diselamatkan dengan tampalan gigi. Proses ini akan meliputi dan melindungi seluruh bahagian atas gigi.
  3. Rawatan Salur Akar - Dilakukan apabila kerosakan gigi amat teruk sehingga tisu pulpa telah dijangkiti atau mati. Rawatan ini akan mengeluarkan pulpa tersebut agar gigi tidak perlu dicabut dan boleh terus digunakan. 
  4. Cabut Gigi - Dilakukan apabila gigi rosak dan tidak boleh diselamatkan lagi. Rawatan ini akan mengeluarkan gigi tersebut daripada tulang rahang. Jika pesakit ingin menggantikan gigi tersebut dengan implan gigi, mereka perlu menunggu beberapa bulan sehingga kawasan tersebut sembuh. 


Kesesuaian rawatan bergantung pada jenis dan tahap kerosakan gigi anda. Konsult doktor gigi anda untuk ketahui rawatan yang terbaik untuk anda. 


Adakah anda ingin ketahui lebih lanjut tentang rawatan-rawatan untuk gigi rosak? Baca artikel ini yang membincangkan rawatan dan kos rawatan gigi rosak.


Kesimpulan

Kesimpulannya, tampalan gigi adalah rawatan penting untuk memastikan kesihatan gigi dan mulut yang baik. Jika pereputan atau kerosakan gigi tidak dirawat, masalah ini boleh menjadi lebih serius, dan lebih sukar untuk doktor gigi menyelamatkan gigi tersebut. 


Dengan menggunakan teknologi dan bahan terkini, proses tampalan gigi dapat dilakukan dengan lebih efisien dan selesa. Oleh itu, jangan ragu-ragu untuk berbincang dengan doktor gigi anda untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang sesuai. 


Jika anda perlukan bantuan pergigian, dapatkan perkhidmatan berkualiti dan mesra kanak-kanak di Klinik Pergigian Skye. Doktor-doktor gigi kami berpengalaman luas dalam pelbagai rawatan pergigian, termasuk tampalan gigi


Jadualkan janji temu dengan Klinik Pergigian Skye hari ini!

Sedia untuk senyuman yakin dan berseri?

Tempah konsultasi untuk membincangkan pilihan rawatan yang disesuaikan. Senyuman yang lebih cerah dan gembira menanti anda!

Hubungi kami inspection-teeth-woman-with-help-mirror

Soalan Lazim

Adakah tampal gigi sakit?

Tidak, doktor gigi akan memberikan ubat bius untuk mengebaskan bahagian gigi yang ingin ditampal. Anda mungkin merasa sedikit kesemutan atau tekanan semasa prosedur. 


Walau bagaimanapun, gigi sakit dan sensitif merupakan kesan-kesan sampingan biasa selepas tampal gigi. Biasanya, ia akan hilang selepas beberapa hari. 

Apakah beza rawatan tampalan gigi dengan rawatan akar?

Rawatan tampalan gigi digunakan untuk mengisi karies gigi yang rosak, manakala rawatan akar digunakan untuk merawat masalah pada akar gigi seperti jangkitan atau abses.

Berapa lama tempoh pemulihan selepas tampal gigi?

Biasanya, pemulihan selepas tampalan gigi mengambil masa beberapa jam sehingga beberapa hari, bergantung pada saiz dan lokasi tampalan.

Berapa lama tampalan gigi boleh bertahan?

Tampalan gigi boleh bertahan selama 5 hingga 15 tahun, bergantung pada jenis tampalan gigi yang dipilih. Selepas tempoh tersebut, anda perlu menggantikan tampalan gigi. 

Berapa kali boleh tampalan gigi diganti?

Tampalan gigi boleh diganti jika ia rosak atau terkeluar, biasanya beberapa kali dalam tempoh hayatnya. Walau bagaimanapun, setiap kali tampalan gigi diganti, struktur gigi semula jadi akan semakin berkurang. 


Oleh itu, apabila karies gigi menjadi terlalu besar, doktor gigi akan menyarankan rawatan lain seperti gigi mahkota. Hal ini kerana struktur gigi semula jadi sudah tidak mencukupi untuk tampalan gigi.

Adakah tampalan gigi nampak natural ataupun boleh diperasai?

Tampalan sewarna gigi (cth: tampalan resin komposit dan tampalan porselin) kelihatan lebih natural, manakala tampalan logam (cth: tampalan amalgam dan tampalan emas) kelihatan lebih berkilat dan kurang natural

Adakah prosedur tampal gigi membuang bahagian gigi yang reput?

Ya, doktor gigi akan membuang bahagian gigi yang reput dan mengisi rogga tersebut dengan bahan tampalan gigi. 

Gigi yang sakit boleh ditampal kah?

Ya, gigi yang sakit kerana kerosakan seperti karies gigi boleh dirawat dengan tampalan gigi. Tetapi kalau karies gigi sudah sampai ke saraf akar, tampalan di bahagian atas tidak akan mengurangkan kesakitan malah akan menyebab gigi itu lebih sakit atau bengkak. 


Dalam situasi ini, rawatan akar adakah rawatan yang paling sesuai untuk menghilangkan kesakitan. Jadualkan janji temu pergigian untuk ketahui keadaan gigi anda dan rawatan yang paling sesuai. 

Boleh ke tampalan gigi dibuat bila mengandung?

Ya, mendapatkan tampalan gigi semasa mengandung adalah selamat. Walau bagaimanapun, wanita mengandung dinasihati supaya mendapatkan rawatan ini semasa trimester kedua, dan tidak disyorkan mendapatkan tampalan gigi amalgam. 


Konsult doktor gigi anda untuk ketahui jika rawatan ini sesuai untuk anda. 

Boleh saya terus makan selepas tampal gigi?

Begantung kepada jenis tampalan yang dibuat, kalau tampalan komposit dibuat, anda boleh makan selepas prosedur tampalan gigi, sebaik saja kesan bius mulai hilang.


Tetapi kalau tampalan ionomer kaca atau tampalan sementara dibuat, anda dinasihatkan untuk tidak mengguna gigi tersebut untuk makan selama 24 jam.

Kenapa tampalan gigi saya tertanggal?

Tampalan gigi boleh tertanggal disebabkan oleh makanan yang keras atau tabiat mengunyah dengan kuat. Sebab-sebab lain adalah bahan tampalan gigi tersebut tidak melekat dengan betul pada gigi, atau terdapat pereputan sekitar tampalan tersebut. 

Adakah normal jika sakit gigi selepas tampalan?

Ya, sedikit kesakitan atau sensitiviti gigi biasanya berlaku selepas tampalan gigi. Walau bagaimanapun, jika rasa sakit berpanjangan, sila berjumpa dengan doktor gigi anda.

Author

Share your love
Feliciayi
Feliciayi
Articles: 33