Gigi Jongang: Punca, Rawatan & Tips Pencegahan Berkesan

Gigi jongang ialah masalah biasa, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia berpunca daripada faktor genetik dan tabiat-tabiat buruk tertentu. 


Gigi yang tidak sejajar ini meningkatkan risiko kesihatan gigi. Oleh itu, masalah ini mestilah dirawat seawal yang mungkin, dan langkah-langkah pencegahan patut diambil oleh ibu bapa.


Jadi, jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang gigi jongang dan cara-cara berkesan untuk mengatasinya, teruskan membaca artikel ini!

Apa itu Gigi Jongang?

Gigi jongang (overjet) ialah sejenis maloklusi, iaitu susunan gigi atau rahang yang tidak betul. Masalah ini terjadi apabila gigi atas terkeluar daripada mulut, dan rahang bawah terdorong ke belakang. 


Gigi seseorang dikatakan jongang jika gigi atas memiliki jarak lebih daripada 2 ke 4 milimeter dari gigi bawah. 


Masalah ini boleh menyebabkan pelbagai risiko kesihatan seperti masalah pernafasan, kecederaan mulut dan gusi, dan lain-lain. Selain itu, gigi jongang boleh meninggalkan impak negatif kepada keyakinan diri. 


Gigi Jongang

Gigi Jongang (Sumber: Di Blasio et al., 2021)


Punca Gigi Jongang

Berikut ialah beberapa punca biasa yang menyebabkan gigi jongang:

Faktor Genetik 

Antara sebab-sebab gigi menjadi jongang ialah faktor genetik seperti struktur rangka muka, iaitu rahang atas panjang atau rahang bawah pendek. Terdapat situasi di mana rahang atas tumbuh lebih panjang, dan akibatnya, tidak sesuai dengan nisbah purata keseluruhan struktur muka.


Dalam konteks ini, gigi jongang boleh menjadi satu ciri fizikal yang diwarisi dalam keluarga anda, iaitu diturunkan kepada anda daripada ibu bapa anda.

Faktor Tisu Lembut 

Punca seterusnya ialah faktor tisu lembut. Gigi jongang boleh terbentuk apabila: bibir atas dan bawah tidak menyentuh, dan bibir bawah gagal mengawal kedudukan gigi kacip atas. 


Jika bibir bawah terperangkap di belakang gigi atas, bibir tersebut akan menolak gigi atas ke hadapan. Otot bibir bawah yang kuat boleh memburukkan lagi masalah ini, di mana otot tersebut menyebabkan gigi kacip bawah condong ke belakang. 


Tabiat menjelir lidah (tongue-thrusting), iaitu menolak gigi atas ke hadapan menggunakan otot lidah, juga boleh menyebabkan gigi jongang. Tabiat ini mungkin disebabkan oleh adenoid atau tonsil yang bengkak, dan tabiat menelan yang salah. 

Tabiat Buruk 

Terdapat beberapa tabiat buruk yang boleh menyebabkan gigi jongang. Pertama sekali, tabiat menghisap ibu jari apabila kanak-kanak sudah mencecah usia lebih daripada 3 tahun. 


Hal ini kerana tekanan daripada ibu jari dan tabiat ‘menghisap’ akan memberi kesan pada gigi, rahang, dan lelangit mulut, dan seterusnya menyebabkan gigi jongang. 


Selain itu, tabiat bernafas melalui mulut menyebabkan perubahan struktur muka. Tabiat ini, yang berpunca daripada saluran pernafasan atas yang terhalang, boleh mengakibatkan maloklusi Kelas I (Gigitan yang biasa, tetapi gigi atas menonjol sedikit) dan Kelas II (Gigi jongang). 


Tabiat mengisar gigi (bruxism) juga boleh menjejaskan penjajaran gigi dan merosakkan gigi. Tabiat ini berpunca daripada stres, rasa kebimbangan, ubat tertentu, tabiat gaya hidup, dan gangguan apnea tidur.

tabiat bayi menghisap ibu jari

Sumber: Pexel

Kesesakan Gigi

Kesesakan gigi pada gerbang atas (upper dental arch) boleh menolak gigi kacip atas, yang terletak di tengah, ke hadapan. Keadaan ini akan memburukkan lagi penjajaran gigi. 


Lebih khusus lagi, apabila gigi tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk tumbuh, ia akan mula menonjol atau kelihatan ‘terkeluar’ daripada mulut. 

Tumor atau Cyst

Tumor atau cyst dalam mulut atau rahang boleh menjejaskan penjajaran gigi, dan menyebabkan perubahan pada bentuk mulut dan rahang anda.


Perkara ini berlaku apabila bahagian atas mulut atau rahang bengkak, atau terdapat ketumbuhan pada bahagian berkenaan. Kedua-dua masalah ini memberi tekanan yang menolak gigi anda ke hadapan. 


Diagnosis

Berikut ialah proses diagnosis gigi jongang:

  1. Menjalankan pemeriksaan fizikal - Biasanya, doktor gigi akan melihat sama ada gigi anda jongang semasa pemeriksaan fizikal. Mereka akan mengambil ukuran-ukuran relevan, menilai penjajaran gigi dan rahang anda, dan menganalisis ‘gigitan’ (bite) anda. 
  2. Mengambil X-ray pergigian - Kemudian, doktor gigi mungkin akan mengambil X-ray untuk memeriksa penjajaran gigi anda dengan lebih terperinci, iaitu melihat sama ada gigi anda sejajar atau terdapat maloklusi. 
  3. Mengambil acuan gigi- Jika memerlukan penelitian lebih lanjut, doktor gigi anda mungkin mengambil acuan gigi untuk mendapatkan gambaran 3 Dimensi (3D) mulut anda. Gambaran ini membantu doktor gigi menilai cara rahang anda ‘menutup’, sama ada terdapat maloklusi, dan jika rawatan diperlukan. 

Risiko Kesihatan

Jika tidak dirawat, gigi jongang boleh menyebabkan pelbagai risiko kesihatan, termasuk masalah-masalah berikut. 

Masalah Pernafasan

Masalah pernafasan (sleep disordered breathing) cenderung timbul dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami maloklusi. Kedudukan gigi yang tidak seimbang boleh menyebabkan penyempitan saluran pernafasan, dan seterusnya corak pernafasan yang tidak normal


Hal ini boleh mengakibatkan masalah tidur seperti sleep apnea, dan menyebabkan ketidakseimbangan otot mulut dan muka.

Kesukaran Mengunyah dan Menggigit

Kesukaran mengunyah dan menggigit juga merupakan risiko kesihatan yang berkaitan dengan gigi jongang. Struktur rahang yang tidak seimbang mungkin menghalang seseorang daripada mengunyah dan menggigit makanan dengan betul. Pergerakan mulut ini mungkin menyakitkan dan tidak selesa untuk mereka. 


Akibatnya, terdapat risiko tinggi individu tersebut akan menghadapi masalah pencernaan dan kekurangan nutrisi, seperti (tetapi tidak separah) individu yang mempunyai Gangguan Sendi Temporomandibular (TMD)


Pesakit TMD mengalami masalah sembelit, kembung perut, kehilangan fungsi mengunyah, dan perubahan berat badan, disebabkan oleh gangguan sendi tersebut yang mengubah cara pemakanan mereka. 


Adakah anda mengalami sakit gigi? Baca artikel ini untuk ketahui cara hilangkan sakit gigi di rumah.


Masalah Pertuturan

Masalah pertuturan juga boleh timbul akibat daripada gigi jongang. Kedudukan gigi dan posisi lidah yang tidak betul boleh menyukarkan penghasilan bunyi-bunyi yang jelas semasa bertutur. 


Kajian mendapati bahawa individu yang mempunyai maloklusi menghadapi kesukaran mengeluarkan bunyi /s/ dan /t/. Masalah pertuturan ini tentunya mengganggu komunikasi dan keyakinan diri individu tersebut, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. 

Berisiko Tinggi Mendapat Kecederaan Gigi dan Gusi

Sebuah kajian dari University of Adelaide menemui hubungan positif antara gigi jongang dan risiko kecederaan gigi dalam kalangan kanak-kanak. Kajian ini melibatkan lebih daripada 50,000 kanak-kanak di bawah usia 19 tahun. 


Misalnya, dalam kajian ini, pengkaji mendapati bahawa kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah yang mengalami maloklusi, tiga kali ganda lebih cenderung untuk mengalami kecederaan mulut berbanding dengan kanak-kanak tanpa masalah gigi jongang.


Dapatan kajian ini amat membimbangkan, kerana jika gigi kanak-kanak tercabut atau patah, mereka berisiko menghadapi masalah dan komplikasi gigi (cth: kehilangan gigi) dalam jangka masa yang panjang.

Kurang Keyakinan Diri 

Gigi jongang bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah boleh menjejaskan keyakinan diri seseorang. Hal ini kerana penjajaran gigi yang tidak normal ini boleh menyebabkan perubahan penampilan muka


Perubahan tersebut meninggalkan kesan yang mendalam terhadap keyakinan diri, terutamanya di kalangan kanak-kanak dan remaja, yang masih dalam proses membentuk identiti mereka sendiri. 

Ubah Senyuman Anda Hari Ini!

Jadualkan konsultasi dengan kami untuk meneroka jalan ke senyuman yang lebih cerah dan sihat.

Jadualkan temujanji
cheerful-young-woman-having-dental-examination-clinic

Rawatan Gigi Jongang

Sumber: Unsplash


Berikut ialah rawatan untuk membetulkan gigi jongang: 


  • Pendakap Gigi / Braces Gigi: Rawatan yang biasa digunakan untuk gigi jongang. Pendakap gigi logam (konvensional) terdiri daripada kurungan (brackets) dan wayar yang akan diketatkan untuk meluruskan dan membetulkan susunan gigi. 


  • Invisalign (Penjajaran Jelas): Aplians ini digunakan untuk merawat kes gigi jongang yang ringan (minor). Penjajaran jelas dibentuk daripada acuan gigi anda. Ia merupakan aplians-boleh-tanggal yang dipakai untuk membetulkan susunan gigi secara beransur-ansuran. 


  • Myobrace: Rawatan ini biasanya digunakan sebelum rawatan pendakap gigi, atau untuk merawat kes gigi jongang yang ringan (minor) dalam kalangan kanak-kanak. Myobrace akan membantu membetulkan posisi lidah, corak pernafasan, penjajaran gigi, dan tabiat-tabiat buruk. 


  • Penahan Gigi: Aplians ini biasanya digunakan selepas rawatan pendakap gigi. Fungsi alat ini adalah mengekalkan susunan gigi yang telah dibetulkan, dan lazimnya perlu dipakai secara konsisten sepanjang umur. 


  • Pengembang Palatal: Rawatan ini digunakan untuk meluaskan rahang atas yang terlalu sempit, dan membetulkan penjajaran rahang. Alat khas ini, yang terdiri daripada dua bahagian, dipasang pada gigi geraham atas. Kedua-dua bahagian ini akan digerakkan untuk ‘meluaskan’ lelangit mulut. 


  • Pendakap Kepala: Alat ortodontik ini, yang digunakan untuk merawat kanak-kanak, terdiri daripada komponen seperti cangkuk, jalur elastik, jalur ortodontik logam, dan lain-lain, yang akan memberi tekanan kepada pendakap gigi, dan seterusnya membetulkan struktur rangka muka. 


  • Cabutan Gigi: Biasanya perlu dilakukan sebelum pemasangan pendakap gigi. Cabutan gigi bertujuan mengatasi masalah kesesakan gigi. Prosedur ini memastikan terdapat ruang yang mencukupi, agar gigi boleh diposisikan dengan betul pada gerbang atas gigi. 


  • Pembedahan: Pembedahan ortognatik (pembedahan rahang) digunakan untuk merawat kes gigi jongang yang serius, dan untuk membetulkan penjajaran rahang individu yang sudah berhenti membesar. 

Bolehkah Gigi Jongang Dibetulkan Tanpa Pendakap Gigi?

Ya, gigi jongang boleh dibetulkan dengan menggunakan rawatan-rawatan lain seperti Invisalign dan pembedahan ortognatik. 


Walau bagaimanapun, kesesuaian rawatan-rawatan ini bergantung pada keperluan dan keparahan kes individu tersebut:


  • Invisalign: Sesuai digunakan untuk kes ringan. Anda harus memakai penjajaran jelas dengan konsisten dan seperti yang diarahkan, untuk mencapai hasil yang terbaik. Rawatan ini biasanya lebih mahal berbanding pendakap gigi konvensional. 


  • Pembedahan: Sesuai digunakan untuk kes lebih parah, untuk orang dewasa. Doktor gigi akan mengambil beberapa X-ray, fotograf, dan ‘kesan gigi’ (dental impressions). Kemudian mereka akan menganalisis bahan-bahan tersebut untuk menentukan jenis rawatan atau pembedahan yang terbaik untuk anda. Walau bagaimanapun, pendakap gigi biasanya masih diperlukan sebelum atau selepas pembedahan ortognatik


Rujuk pada doktor gigi anda untuk menentukan sama ada rawatan-rawatan tersebut adalah sesuai. 

Rawatan Manakah Yang Sesuai Untuk Saya?

Berikut ialah rawatan untuk kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa:

Rawatan untuk Kanak-Kanak dan Remaja

Rawatan untuk Orang Dewasa

- Pendakap Gigi
- Invisalign
- Myobrace
- Penahan Gigi
- Pengembang Palatal
- Pendakap Kepala
- Cabutan Gigi Susu

- Pendakap Gigi
- Invisalign
- Penahan Gigi
- Cabutan Gigi
- Pembedahan

Klinik Pergigian Skye menggunakan teknologi pergigian terkini untuk menjamin para pesakit kami sentiasa mendapat rawatan yang berkualiti dan berkesan. Konsult doktor-doktor gigi kami untuk mengenal pasti rawatan yang paling sesuai untuk anda. 

Faedah-Faedah Rawatan Gigi Jongang

Rawatan gigi jongang boleh mengurangkan risiko kesihatan, dan seterusnya memberikan faedah-faedah berikut:


  1. Pengurangan Kesakitan Gigi dan Rahang - Rawatan-rawatan ini membantu mengurangkan kesakitan pada bahagian muka yang disebabkan oleh kesukaran mengunyah dan menggigit (akibat gigi jongang). Susunan gigi dan rahang yang dibetulkan memudahkan pergerakan mulut.
  2. Penambahbaikan Dalam Struktur Muka dan Susunan Gigi - Rawatan gigi jongang seperti pendakap gigi, Myobrace, dan pembedahan membantu memperbaiki bentuk muka dan susunan gigi, dan seterusnya meningkatkan penampilan dan keyakinan diri.
  3. Pengurangan Risiko Memerlukan Rawatan Ortodontik Kritikal - Rawatan gigi jongang yang awal dapat mengurangkan keperluan untuk rawatan ortodontik yang lebih rumit atau kritikal pada masa hadapan. Sebagai contoh, ia mengurangkan risiko kecederaan gigi atau kehilangan gigi yang sering dikaitkan dengan gigi jongang. 

Tips Pencegahan Gigi Jongang

Berikut ialah beberapa langkah-langkah untuk mencegah gigi jongang:

Ubahsuai Tingkah Laku 

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, terdapat beberapa tabiat buruk yang boleh menyebabkan gigi jongang. Sebagai contoh, tabiat menghisap ibu jari dan puting kosong. 


Ibu bapa patut mengubahsuai tingkah laku ini dalam anak mereka, dengan:

  • Memberikan ganjaran kecil atas kejayaan mengelakkan tabiat itu.
  • Memberikan kata-kata semangat.
  • Menyediakan alternatif seperti memeluk bantal kecil atau alat mainan. 

Elakkan Cawan Sippy untuk Kanak-Kanak

Cawan sippy (rujuk gambar di bawah) merupakan salah satu punca gigi jongang dalam kalangan kanak-kanak. Apabila kanak-kanak mempunyai tabiat menghisap puting cawan ini, mereka berisiko tinggi mendapat maloklusi


Oleh itu, pakar-pakar menyarankan ibu bapa untuk berhenti menggunakan cawan tersebut. Sebaliknya, ibu bapa boleh memberikan cawan sippy ‘360 darjah’ kepada anak-anak mereka. Cawan ini menggalakkan kanak-kanak untuk minum dari tepi cawan, seperti orang dewasa. 

Sumber: Freepik

Jaga Kebersihan Mulut dengan Baik

Kesihatan mulut yang terjaga mengurangkan risiko penyakit oral. Berikut ialah beberapa amalan penjagaan oral yang penting:

  • Berus gigi setiap hari, terutamanya selepas makan dan sebelum tidur.
  • Gunakan ubat gigi berfluorida untuk anak anda. 
  • Bantu anak anda memberus gigi (sehingga usia 6 hingga 8 tahun). 
  • Berkumur selepas makan atau minum jika tidak dapat memberus gigi. 
  • Tukar berus gigi setiap 3 hingga 4 bulan.
  • Amalkan pemakanan yang berkhasiat dan seimbang.
  • Elakkan makanan dan minuman yang bergula. 

Dapatkan Pemeriksaan Pergigian Berkala

Tanda-tanda gigi jongang boleh dikenal pasti semasa pemeriksaan pergigian. Hal ini membolehkan doktor gigi mengambil tindakan awal, dan mengelakkan masalah tersebut daripada bertambah teruk. 


Oleh itu, anda patut mendapatkan pemeriksaan pergigian setiap 3 bulan, 6 bulan, atau 1 tahun. Kekerapan pemeriksaan adalah bergantung pada tahap kesihatan gigi dan gusi anda, dan faktor risiko. 


Adakah anda tahu scaling gigi ialah prosedur yang amat penting untuk menjaga kesihatan gigi kita? Baca artikel ini untuk ketahui lebih lanjut tentang scaling gigi


Sumber: Freepik

Kesimpulan

Kesimpulannya, gigi jongang bukan sahaja memberi impak kepada penampilan fizikal seseorang, tetapi juga mampu menjejaskan kesihatan gigi dan keyakinan diri seseorang. 


Terdapat pelbagai rawatan, termasuk pendakap gigi, pendakap kepala, cabutan gigi, dan pembedahan. Konsult doktor gigi anda untuk mengenal pasti rawatan yang paling sesuai untuk anda. 


Pastikan bahawa anda mempraktikkan amalan penjagaan mulut yang baik dan mendapatkan pemeriksaan berkala dengan doktor pergigian, untuk mencegah gigi jongang. 


Jika anda perlukan bantuan pergigian, dapatkan perkhidmatan berkualiti dan mesra kanak-kanak di Klinik Pergigian Skye. Doktor-doktor gigi kami berpengalaman luas dalam merawat pelbagai jenis masalah pergigian, termasuk rawatan ortodontik (Pendakap, Invisalign & Myobrace) untuk gigi jongang. 


Jadualkan janji temu dengan Klinik Pergigian Skye hari ini!

Sedia untuk senyuman yakin dan berseri?

Tempah konsultasi untuk membincangkan pilihan rawatan yang disesuaikan. Senyuman yang lebih cerah dan gembira menanti anda!

Hubungi kami inspection-teeth-woman-with-help-mirror

Soalan Lazim

Adakah terdapat risiko kesihatan jika memiliki gigi jongang?

Ya, terdapat pelbagai risiko kesihatan, termasuk masalah pernafasan, kesukaran mengunyah dan menggigit, masalah pertuturan, dan lebih terdedah kepada kecederaan gigi dan gusi. 


Ketahui lebih lanjut mengenai risiko-risiko kesihatan dalam bahagian ini. 

Berapa lama diperlukan untuk membetulkan gigi jongang?

Tempoh rawatan bergantung pada keparahan kes. Biasanya, rawatan boleh mengambil masa sehingga 2 tahun, dan kes yang kurang parah boleh dibetulkan dengan lebih cepat. 

Pada usia berapakah gigi jongang perlu dibetulkan?

Bagi kanak-kanak, gigi jongang boleh dibetulkan seawal 7 atau 8 tahun. Bagi remaja dan orang dewasa pula, masalah ini masih boleh dibetulkan, tetapi mungkin melibatkan rawatan yang lebih kompleks.


Oleh itu, rawatan awal adalah amat penting. Secara keseluruhannya, keberkesanan dan tempoh rawatan bergantung pada keparahan kes, punca kes, dan kesihatan gigi dan gusi individu tersebut. 

Apakah cara terpantas untuk membetulkan gigi jongang?

Cara yang terpantas adalah berbeza untuk setiap individu. Ia bergantung pada usia, keparahan kes, punca kes, dan kesihatan gigi dan gusi individu tersebut. 


Jadualkan janji temu dengan doktor gigi anda untuk mengenal pasti rawatan yang paling sesuai untuk anda. 

Bagaimana membetulkan gigi jongang secara semulajadi?

Secara amnya, gigi jongang memerlukan rawatan daripada doktor gigi. Walau bagaimanapun, anda boleh mencuba langkah seperti:

  • Melakukan latihan atau senaman rahang. 
  • Mengamalkan postur oral yang baik.


Jadualkan janji temu dengan doktor gigi anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai langkah-langkah ini, dan untuk mengetahui rawatan yang berkesan untuk gigi jongang. 

Adakah OK jika gigi saya sedikit jongang?

Jawapannya bergantung pada keparahan kes. Jika gigi jongang tidak menyebabkan risiko kesihatan seperti yang dinyatakan dalam bahagian ini, anda mungkin tidak memerlukan rawatan.


Walau bagaimanapun, anda patut mendapatkan nasihat daripada doktor gigi sebelum membuat sebarang keputusan.

 

Adakah gigi jongang boleh menyebabkan sebarang masalah kesihatan mulut jangka panjang jika tidak dirawat?

Ya, gigi jongang yang tidak dirawat boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan mulut, termasuk peningkatan risiko karies gigi, penyakit gusi, dan pemakaian gigi yang tidak sekata.

Adakah terdapat sekatan usia untuk memakai braces untuk membetulkan gigi jongang?

Secara umumnya, tidak ada sekatan usia untuk memakai braces untuk membetulkan gigi jongang. Rawatan ortodontik boleh berkesan pada mana-mana usia, tetapi pendekatan rawatan mungkin berbeza.

Adakah membetulkan gigi jongang dengan braces akan mengubah penampilan muka saya?

Membetulkan gigi jongang dengan braces mungkin akan memberi kesan pada penampilan muka anda, terutamanya penjajaran rahang anda dan kedudukan bibir anda.

Sejauh mana keparahan gigi jongang memberi impak kepada pendekatan rawatan?

Keparahan gigi jongang dapat memberi impak yang signifikan kepada pendekatan rawatan, dengan kes-kes yang lebih teruk sering memerlukan pelan rawatan yang lebih kompleks.

Adakah gigi jongang boleh diperbetulkan dengan braces tidak kelihatan atau penjajaran?

Ya, gigi jongang boleh diperbetulkan dengan braces tidak kelihatan atau penjajaran, bergantung kepada keparahan kes dan cadangan ortodontis.

Adakah gigi jongang boleh disebabkan oleh tabiat seperti menghisap jari atau dorongan lidah?

Ya, tabiat seperti menghisap jari atau dorongan lidah boleh menyumbang kepada perkembangan atau pemburukan gigi jongang.

Adakah gigi jongang boleh menyebabkan masalah dengan mengunyah atau menggigit?

Ya, gigi jongang boleh menyebabkan masalah dengan mengunyah atau menggigit, terutamanya jika ia teruk dan mempengaruhi penjajaran gigi.

Adakah gigi jongang boleh diperbetulkan jika saya mempunyai gigi yang hilang?

Gigi jongang boleh diperbetulkan walaupun anda mempunyai gigi yang hilang, tetapi pendekatan rawatan mungkin melibatkan langkah tambahan untuk menangani gigi yang hilang, seperti implant gigi atau jambatan.


Author

Share your love
Feliciayi
Feliciayi
Articles: 30