Implan gigi telah menjadi salah satu pilihan rawatan yang popular untuk menggantikan gigi yang hilang. Kaedah ini menawarkan penyelesaian jangka panjang yang kelihatan dan berfungsi seperti gigi asli.
Dalam artikel ini, kita akan membincangkan apa itu implan gigi, bagaimana ia berfungsi, serta kelebihan dan pertimbangan yang perlu diambil kira sebelum memilih rawatan ini.
Sama ada anda sedang mempertimbangkan implan gigi atau hanya ingin menambah pengetahuan, maklumat ini akan membantu anda memahami pilihan rawatan pergigian dengan lebih baik.
Sumber: Freepik
Implan gigi atau tanam gigi ialah prosedur pergigian moden untuk menggantikan gigi yang hilang. Implan gigi terdiri daripada tiga komponen, iaitu:
- Mahkota (Crown) - Gigi palsu atau buatan.
- Abutment - Penyambung skru dengan mahkota gigi.
- Implan / Skru - Digerudi ke dalam tulang rahang untuk menggantikan akar gigi.
Ia melibatkan penanaman akar gigi tiruan ke dalam tulang rahang. Akar tiruan ini, yang biasanya diperbuat daripada titanium, berfungsi sebagai asas kukuh untuk memasang gigi pengganti seperti mahkota gigi, jambatan gigi, atau gigi palsu.
Implan gigi boleh bertahan seumur hidup, dan kelihatan dan berfungsi seperti gigi asli. Implan gigi memulihkan fungsi pengunyahan dan penampilan estetik pesakit.
Implan gigi melibatkan beberapa peringkat:
- Pertama sekali, doktor gigi akan memasukkan skru titanium ke dalam tulang rahang.
- Selepas tempoh penyembuhan, gigi palsu akan dipasang pada skru tersebut.
Oleh sebab proses penyembuhan tulang rahang mengambil masa yang lama, prosedur ini mungkin memerlukan beberapa bulan untuk disiapkan. Kami akan membincangkan prosedur ini dengan lebih mendalam dalam bahagian seterusnya.
Siapa Calon Yang Sesuai Untuk Implan Gigi?
Implan gigi adalah pilihan yang sesuai untuk individu yang:
- Kehilangan satu atau lebih gigi kekal.
- Dewasa dan sihat.
- Tidak mempunyai masalah perubatan serius.
- Mempunyai kesihatan oral yang baik.
- Mempunyai tulang rahang yang mencukupi atau sesuai untuk menjalani graf tulang.
- Tidak merokok (Perlu berhenti merokok sebelum prosedur untuk meningkatkan kejayaan implan).
- Tidak mau memakai gigi palsu boleh tanggal (dentures).
- Ingin menambah baik pertuturan.
- Sanggup meluangkan masa beberapa bulan untuk menyiapkan prosedur tersebut.
Implan gigi tidak sesuai untuk individu yang:
- Berumur bawah 18 tahun.
- Mengalami penyakit gusi teruk.
- Mengalami kekurangan tulang rahang.
- Mengalami masalah perubatan serius (cth: masalah tulang, penyakit autoimun seperti kencing manis (diabetes)).
- Mempunyai banyak rongga gigi.
- Merokok atau menggunakan produk tembakau lain.
Jadualkan temu janji dengan doktor gigi anda untuk ketahui sama ada implan gigi adalah pilihan yang sesuai untuk anda, dan untuk membincangkan pelan rawatan.
Adakah anda mempunyai gigi rosak? Ketahui simptom dan rawatan untuk masalah pergigian ini dalam artikel kami!
Kelebihan dan Kekurangan Implan Gigi
Dalam jadual di bawah, kami telah senaraikan kelebihan dan kekurangan implan gigi:
Konsult doktor-doktor gigi di Klinik Pergigian Skye untuk ketahui sama ada implan gigi adalah rawatan yang sesuai untuk anda. Kami menggunakan teknologi pergigian terkini untuk menjamin para pesakit kami sentiasa mendapat rawatan yang berkualiti dan berkesan.
Jenis Bahan Implan Gigi
Sumber: Pexel
Terdapat beberapa jenis bahan implan gigi. Setiap jenis mempunyai kelebihan tersendiri.
1. Titanium
Implan titanium digunakan secara meluas kerana sifat bioserasi dan kekuatannya. Sifat bioserasi titanium membolehkan ia menyesuaikan diri dengan baik dalam tubuh manusia.
Ia berintegrasi dengan baik bersama tisu tulang semasa proses oseointegrasi, iaitu proses yang membolehkan titanium bersatu dengan tulang rahang. Ini menghasilkan asas kukuh untuk gigi palsu.
Selain itu, kekuatan logam ini menjamin ketahanan implan untuk jangka masa panjang. Kebanyakan doktor gigi memilih titanium kerana rekod keselamatan dan keberkesanannya yang terbukti.
2. Zirkonia
Implan zirkonia menawarkan pilihan estetik yang unggul untuk pesakit. Warna bahan ini yang serasi dengan gigi asli menjadikannya pilihan ideal untuk gigi hadapan.
Kelebihan lain termasuk ketahanan terhadap hakisan dan kekonduksian haba yang rendah. Bahan ini juga sesuai untuk individu yang mempunyai alahan logam. Walau bagaimanapun, integrasi zirkonia dengan tulang kurang baik berbanding titanium.
3. Seramik
Implan seramik juga berwarna gigi dan bioserasi. Seramik sering digunakan sebagai implan pembedahan kerana sifatnya yang lengai (tidak reaktif) dan kuat. Seramik juga mempunyai ciri-ciri fizikal seperti kekonduksian haba dan elektrik yang rendah.
Sama seperti zirkonia, bahan ini adalah pilihan yang baik untuk pesakit yang mempunyai alahan logam. Namun, seramik lebih mudah retak berbanding titanium atau zirkonia.
Bagaimana Memilih Bahan Implan Gigi Yang Sesuai?
Pemilihan bahan implan gigi memerlukan pertimbangan teliti. Anda patut mengambil kira faktor-faktor berikut:
- Estetika (terutama untuk gigi hadapan)
- Keperluan pesakit (cth: keadaan mulut, bilangan gigi yang perlu diganti)
- Saranan doktor gigi
Jadual di bawah menunjukkan perbandingan antara bahan titanium, zirkonia, dan seramik:
Doktor gigi akan mencadangkan bahan terbaik berdasarkan keadaan mulut dan keperluan pesakit. Konsult doktor-doktor gigi di Klinik Pergigian Skye untuk ketahui lebih lanjut tentang jenis bahan implan gigi.
Prosedur Implan Gigi
Sumber: Freepik
Prosedur implan gigi boleh mengambil masa 3 hingga 6 bulan, bergantung pada kerumitan kes. Ia melibatkan beberapa langkah penting, iaitu:
1.Pemeriksaan dan Perancangan
- Pemeriksaan gigi dan mulut: Doktor gigi akan memeriksa kesihatan gusi, tulang rahang, dan gigi berdekatan. Anda perlu maklumkan doktor anda mengenai rekod perubatan anda (cth: penyakit, ubat-ubatan).
- Pengambilan X-ray dan imbasan 3D: Doktor gigi menggunakan teknologi tersebut untuk menilai struktur tulang rahang secara terperinci untuki menentukan kesesuaian pesakit untuk prosedur implan gigi.
- Perbincangan pelan rawatan: Doktor gigi menerangkan prosedur, kos, dan tempoh masa yang diperlukan. Anda boleh bertanya soalan dan menyuarakan sebarang kerisauan.
2. Penyediaan Tapak Implan
- Pembersihan kawasan gigi yang hilang: Membuang sisa-sisa gigi yang patah atau rosak dan membersihkan kawasan tersebut daripada sebarang jangkitan atau tisu yang rosak.
- Prosedur pemulihan tulang (graf tulang): Jika perlu, prosedur ini dilakukan untuk menambah ketebalan tulang rahang yang tidak mencukupi. Ia penting bagi menyokong implan dengan kukuh. Tulang ini biasanya mengambil masa beberapa bulan untuk tumbuh sepenuhnya.
3. Pemasangan Implan / Skru
- Pemberian bius (anestesia setempat): Sebelum memasang implan / skru titanium, doktor gigi akan memberikan ubat bius untuk mengebaskan kawasan tersebut.
- Pembuatan lubang kecil dalam tulang rahang: Doktor gigi akan memotong atau membelah gusi bagi mendedahkan sedikit tulang rahang. Kemudian, mereka akan menggunakan alat khusus untuk menebuk lubang (mengikut saiz implan) ke dalam tulang rahang.
- Pemasangan implan ke dalam tulang: Prosedur memasang implan biasanya mengambil masa 1 hingga 2 jam (untuk satu implan) di bawah ubat bius. Pesakit mungkin berasa sedikit ketidakselesaan, tetapi kesakitan biasanya sedikit.
4. Tempoh Penyembuhan dan Pertumbuhan Tulang
- Proses pertumbuhan tulang di sekeliling implan (osseointegrasi): Penyembuhan selepas pembuatan lubang memerlukan beberapa bulan. Dalam tempoh ini, tulang rahang akan tumbuh dan bersatu dengan implan tersebut. Pesakit perlu menjaga kebersihan kawasan pembedahan dan mengikut arahan doktor gigi untuk memastikan ia sembuh sepenuhnya.
5. Pemasangan Abutment
- Pemasangan abutment*: Abutment berfungsi sebagai penyambung antara implan yang tertanam dalam tulang rahang dan gigi palsu (mahkota) yang akan dipasang. Pembedahan kecil dilakukan untuk mendedahkan bahagian atas implan dan memasang abutment. Kemudian, tisu gusi akan dibiarkan sembuh di sekeliling abutment.
*Nota: Abutment boleh dipasang bersama dengan implan gigi, atau boleh dipasang dalam prosedur yang berasingan, bergantung pada keperluan estetik pesakit.
6. Pembuatan dan Pemasangan Gigi Palsu
- Pengambilan cetakan (dental impression) untuk membuat gigi palsu: Doktor gigi akan menggunakan bahan khusus untuk membuat cetakan struktur mulut anda. Cetakan ini membolehkan pembuatan gigi palsu yang sesuai dengan bentuk dan saiz gigi asli anda.
- Pemasangan gigi palsu pada abutment: Dua minggu selepas abutment dipasang dan gusi sudah sembuh, doktor gigi anda akan memasang gigi palsu pada abutment tersebut.
7. Rawatan Susulan
- Pemeriksaan berkala: Dilakukan untuk memastikan implan berfungsi dengan baik. Doktor gigi akan memeriksa keadaan gusi, tulang, dan implan setiap 6 bulan untuk memastikan tiada tanda-tanda jangkitan atau longgar.
- Tips Penjagaan Selepas Prosedur: Pesakit perlu menjaga kebersihan mulut dan implan selepas pemasangan. Selain itu, mereka perlu mengelakkan tabiat buruk seperti mengisar dan mengetap gigi dan merokok ia boleh merosakkan dan menyebabkan noda (stain) pada gigi.
Jika kebersihan mulut tidak dijaga dengan baik, karang gigi akan terbentuk pada gigi anda. Ketahui lebih lanjut tentang masalah umum ini dalam artikel kami!
Risiko Implan Gigi
Prosedur implan gigi mempunyai beberapa risiko, iaitu:
- Kecederaan sinus (semasa prosedur di rahang atas).
- Kecederaan saraf (boleh menyebabkan rasa kebas atau kesemutan dalam mulut anda).
- Pendarahan berlebihan.
- Kerosakan gigi bersebelahan.
- Jangkitan mungkin terjadi jika kebersihan mulut tidak dijaga.
- Penolakan implan oleh badan pesakit.
- Tindak balas alergi terhadap bahan implan.
- Kegagalan osseointegrasi (boleh mengakibatkan implan longgar).
Walau bagaimanapun, risiko-risiko ini jarang berlaku. Jika terdapat sebarang komplikasi, ia biasanya boleh dirawat dengan mudah. Untuk maklumat lanjut, sila berjumpa dengan doktor gigi anda.
Harga Implan Gigi
Anggaran harga implan gigi di Malaysia adalah antara RM5,000 hingga RM13,000 untuk satu implan, bergantung pada jenis dan kerumitan prosedur.
Faktor-faktor yang mempengaruhi harga termasuk:
- Lokasi klinik
- Kepakaran doktor gigi
- Jenama dan jenis implan yang digunakan
- Graf tulang (jika perlu)
Kos Prosedur Graf Tulang
Graf tulang ialah prosedur tambahan dalam implan gigi. Ia diperlukan apabila tulang rahang tidak mencukupi untuk menyokong implan. Anggaran kos graf tulang di Malaysia adalah antara RM500 hingga RM3,000.
Doktor gigi akan menentukan keperluan graf tulang semasa pemeriksaan awal. Faktor-faktor seperti ketebalan tulang rahang dan keadaan kesihatan mulut akan diambil kira. Graf tulang meningkatkan kadar kejayaan implan gigi jangka panjang.
Alternatif Implan Gigi
Sumber: Pexel
Berikut ialah rawatan-rawatan yang mungkin lebih sesuai untuk anda:
Gigi Palsu Boleh Tanggal
Prostesis ini dibahagikan kepada dua jenis, iaitu gigi palsu lengkap (menggantikan semua gigi di rahang) dan gigi palsu sebahagian (menggantikan beberapa gigi di rahang).
Gigi palsu ini boleh ditanggal dan sesuai untuk pesakit yang tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan. Rawatan ini juga lebih murah berbanding implan gigi.
Jambatan Pergigian
Prostesis ini menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang dengan menyambung gigi palsu dengan gigi-gigi bersebelahan (gigi asli, mahkota gigi, atau implan gigi).
Rawatan ini menawarkan penyelesaian tetap, iaitu disimen terus pada gigi dan tidak perlu dibuka bagi dibersihkan. Jambatan pergigian juga lebih murah berbanding implan gigi.
Kedua-dua pilihan ini memulihkan fungsi pengunyahan dan estetik senyuman dengan cepat dan selesa. Pemilihan kaedah terbaik bergantung pada keadaan mulut, kos, dan keperluan pesakit.
Kesimpulan
Implan gigi menawarkan penyelesaian jangka panjang untuk gigi hilang. Prosedur ini melibatkan beberapa langkah penting, dari pemeriksaan awal hingga pemasangan gigi palsu.
Pilihan bahan implan seperti titanium atau zirkonia mempengaruhi hasil akhir. Penjagaan yang betul selepas prosedur penting untuk kejayaan jangka panjang implan gigi anda.
Jika anda ingin mendapat implan gigi, dapatkan perkhidmatan berkualiti dan mesra kanak-kanak di Klinik Pergigian Skye. Doktor-doktor gigi kami berpengalaman luas dalam pelbagai rawatan pergigian, dan menggunakan teknologi pergigian terkini untuk memastikan rawatan anda selesa dan berkesan.
Soalan Lazim
Adakah implan gigi selamat?
Implan gigi sangat selamat. Kadar kehidupan prosedur ini adalah 90% - 95%. Prosedur ini dijalankan oleh pakar pergigian terlatih seperti doktor gigi, pakar bedah mulut, dan periodontists.
Risiko komplikasi seperti jangkitan atau kegagalan implan adalah rendah, iaitu 5% hingga 10%. Pemeriksaan menyeluruh sebelum prosedur memastikan rawatan tersebut sesuai untuk pesakit. Penjagaan yang betul selepas pembedahan meningkatkan kejayaan jangka panjang.
Siapa calon yang sesuai untuk graf tulang?
Graf tulang diperlukan oleh pesakit yang kekurangan tulang rahang. Prosedur ini penting bagi mereka yang mengalami kehilangan tulang akibat penyakit periodontal, trauma atau kehilangan gigi yang lama.
Pesakit dengan tulang rahang tipis atau lembut juga memerlukan graf tulang sebelum implan gigi.
Doktor gigi akan menentukan keperluan graf tulang melalui pemeriksaan klinikal dan imbasan radiografi. Prosedur ini meningkatkan jumlah dan kualiti tulang, dan seterusnya menyediakan asas kukuh untuk implan.
Adakah implan gigi menyakitkan?
Prosedur implan gigi tidak menyakitkan. Ubat bius (anestesia setempat) digunakan untuk menghilangkan rasa sakit semasa pembedahan. Pesakit mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan dan bengkak selepas prosedur.
Doktor gigi akan memberi panduan penjagaan selepas prosedur. Contohnya, mengambil ubat tahan sakit untuk mengurangkan kesakitan, dan menggunakan pek ais untuk mengurangkan bengkak.
Biasanya, pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa dalam tempoh beberapa hari selepas pembedahan.
Apakah masa penyembuhan selepas implan gigi?
Masa penyembuhan selepas implan gigi biasanya mengambil masa sekitar 3 hingga 6 bulan. Proses ini dipanggil osseointegrasi, di mana tulang rahang tumbuh dan bersatu dengan implan titanium.
Tempoh penyembuhan mungkin berbeza bergantung pada kesihatan umum pesakit dan keadaan tulang rahang. Pesakit perlu menjaga kebersihan mulut dengan teliti dan mengikuti arahan doktor gigi sepanjang tempoh ini. Pemeriksaan susulan akan dijadualkan untuk memantau proses penyembuhan.
Apakah yang boleh dan tidak boleh saya lakukan selepas implan gigi?
Selepas prosedur implan gigi, pesakit perlu menjaga kawasan implan dengan teliti. Berikut ialah panduan penjagaan implan gigi:
- Jaga kebersihan mulut dengan memberus gigi secara berhati-hati dan berkumur air garam suam.
- Patuhi arahan doktor gigi untuk pengambilan ubat dan rawatan susulan.
- Makan makanan lembut untuk sekurang-kurangnya 1 minggu (Elakkan makanan yang keras).
- Elakkan makanan dan minuman yang panas dalam tempoh 24 jam pertama.
- Berhenti merokok dan minum arak untuk sekurang-kurangnya 2 minggu.
- Kurangkan aktiviti fizikal berat dalam tempoh 48 jam pertama.
- Jangan sentuh atau ganggu kawasan implan.
- Elakkan menghisap minuman menggunakan straw.
Jika mengalami bengkak atau kesakitan berterusan, sila berjumpa dengan doktor gigi anda secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan lanjutan.
Bolehkah saya rasa panas dan sejuk pada implan gigi?
Pesakit tidak dapat merasakan panas atau sejuk pada implan gigi. Hal ini kerana implan dan gigi palsu yang dipasang pada implan tidak mempunyai saraf, jadi ia tidak menghantar isyarat suhu ke otak.
Walau bagaimanapun, gusi di sekitar implan masih sensitif terhadap suhu. Oleh itu, pesakit mungkin merasakan sedikit sensasi pada kawasan tersebut.
Sensitiviti berpanjangan selepas prosedur implan gigi mungkin tanda implan tidak dipasang dengan betul atau terdapat jangkitan di kawasan implan tersebut. Jika anda mengalami simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor gigi anda.
Kenapa implan gigi longgar?
Implan gigi longgar boleh berlaku disebabkan beberapa faktor. Jangkitan gusi atau tulang di sekitar implan merupakan punca utama. Ia boleh menyebabkan keradangan dan kehilangan tisu sokongan.
Kegagalan osseointegrasi juga boleh menyebabkan kelonggaran. Ini berlaku apabila tulang gagal tumbuh dan bergabung dengan implan. Selain itu, tabiat buruk seperti mengisar dan mengetap gigi juga boleh menyebabkan implan gigi retak atau menjadi longgar.
Faktor-faktor lain termasuk kualiti tulang yang lemah, penyakit sistemik, dan teknik pembedahan yang tidak tepat. Merokok juga meningkatkan risiko kelonggaran implan.
Oleh sebab itu, pemeriksaan berkala dan penjagaan kebersihan mulut amat penting. Ia dapat mengesan dan mencegah masalah kelonggaran awal. Jika implan gigi anda longgar, dapatkan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi lanjut.
Bolehkah saya makan seperti biasa selepas mendapat implan gigi?
Selepas tempoh penyembuhan, anda boleh makan seperti biasa dengan implan gigi. Proses penyembuhan biasanya mengambil masa 3 hingga 6 bulan.
Pada peringkat awal, pakar pergigian akan menasihatkan anda untuk mengelakkan makanan keras atau melekit. Sebaliknya, makan makanan lembut seperti sup dan bubur.
Penjagaan kebersihan mulut amat penting untuk mengekalkan kesihatan implan dan gigi lain. Berus gigi dua kali sehari dan gunakan flos gigi dengan teknik yang betul.
Bolehkah kanak-kanak mendapat implan gigi?
Implan gigi tidak disyorkan untuk kanak-kanak. Hal ini kerana rahang mereka masih dalam proses tumbesaran dan perkembangan.
Pilihan rawatan lain seperti bridge boleh dipertimbangkan untuk kanak-kanak yang kehilangan gigi.
Doktor gigi lazimnya menunggu sehingga pertumbuhan rahang sempurna sebelum mempertimbangkan implan. Ini biasanya berlaku sekitar umur 18 tahun bagi perempuan dan 21 tahun bagi lelaki.
Bolehkah saya dapatkan implan gigi jika saya mempunyai penyakit gusi?
Kesihatan gusi yang baik penting untuk kejayaan implan gigi. Walau bagaimanapun, penyakit gusi tidak semestinya menghalang pemasangan implan gigi.
Keputusan bergantung kepada tahap keparahan penyakit gusi anda. Doktor gigi akan menilai kesihatan gusi dan tulang rahang sebelum mengesyorkan rawatan.
Jika penyakit gusi ringan, rawatan boleh dilakukan sebelum prosedur implan. Penyakit gusi teruk pula mungkin memerlukan rawatan intensif atau graf tulang terlebih dahulu.
Selepas prosedur implan gigi, penjagaan kebersihan mulut yang baik diperlukan untuk mengelakkan jangkitan dan memastikan implan kekal stabil dan sihat.
Bolehkah saya dapatkan implan gigi jika saya mempunyai penyakit kencing manis (diabetes)?
Pesakit kencing manis boleh mendapatkan implan gigi. Kawalan paras gula darah yang baik penting untuk kejayaan prosedur ini.
Doktor gigi akan menilai tahap kawalan kencing manis sebelum memulakan rawatan. Pemantauan rapi diperlukan sepanjang proses penyembuhan. Pesakit kencing manis mempunyai risiko jangkitan yang lebih tinggi.
Namun, dengan penjagaan yang teliti, implan gigi masih adalah pilihan yang selamat dan berkesan.